KUALA LUMPUR 29 Mac - Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengagihkan pembayaran berjumlah RM1.88 bilion untuk tiga dana di bawah Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2018.
Dana tersebut ialah Amanah Saham Malaysia (ASM) sebanyak RM1.11 bilion dan Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB 2) pula RM562.9 juta dengan agihan pendapatan masing-masing 6.25 sen per unit dan 6.75 sen per unit.
Bagi dana di bawah Amanah Saham Gemilang (ASG) iaitu ASG-Pendidikan, ASG-Kesihatan dan ASG-Persaraan masing-masing sebanyak 4.80 sen seunit, 5.20 sen seunit dan 5.15 sen seunit dengan jumlah pengagihan berjumlah RM211.6 juta.
Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, ASB 2 yang dilancarkan pada 2014 akan diagihkan kepada 348,000 pemegang unit yang kini memegang 9.4 bilion unit dengan setakat 28 Februari tahun ini merekodkan pendapatan bersih sebanyak RM551.2 juta.
Katanya, pengagihan pendapatan ASM pula akan memberi manfaat kepada lebih 540,000 pemegang unit yang memegang 18.4 bilion unit dengan pendapatan bersih sebanyak RM1.1 bilion sehingga 28 Februari 2018.
Beliau memberitahu, sebanyak 185,590 pemegang unit dana ASG akan menerima manfaat daripada pengagihan pendapatan tersebut.
“Prestasi lebih baik ini adalah selaras dengan tumpuan dana untuk memberi pulangan seimbang melalui pelaburan dalam ekuiti dan pendapatan tetap. Ia juga seiring dengan strategi PNB untuk memfokuskan dana harga berubah-ubahnya bagi menjana pulangan keseluruhan kepada pemegang unit,” katanya dalam pembentangan Laporan Tahunan 2017 PNB dan pengumuman dana berkenaan di sini hari ini.
Yang turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad.
Laporan tahunan tersebut yang mengandungi kemajuan dan pencapaian dana terbesar negara itu adalah kali pertama dibentangkan bagi memperingati Ulang Tahun ke-40 PNB yang turut diedarkan kepada orang ramai.
Menurut Abdul Wahid, PNB telah mencatatkan prestasi baik bagi tahun kewangan 2017 dengan peningkatan aset di bawah pengurusan (AUM) sebanyak 4.8 peratus kepada RM279.2 bilion berbanding RM266.4 bilion tahun sebelumnya manakala operasi dana amanah saham PNB juga menyaksikan pertumbuhan positif.
Katanya, jumlah unit dalam edaran meningkat kepada sebanyak 3.5 peratus kepada 219.7 bilion pada 2017 manakala jumlah akaun juga berkembang 1.5 peratus kepada 13.2 juta pemegang unit.
“Ekonomi Malaysia merekodkan pertumbuhan mantap sebanyak 5.9 peratus pada tahun lalu dan FBM KLCI juga berkembang 9.4 peratus menunjukkan pemulihan yang kukuh berikutan pertumbuhan negatif bagi tiga tahun lalu.
“Berdasarkan perkara ini dan berpegang kepada asas yang kukuh, kami berpuas hati PNB dan dana amanah saham berjaya merekodkan pendapatan bersih sebanyak RM17.7 bilion, peningkatan yang ketara sebanyak 16.4 peratus berbanding dengan RM15.2 juta pada 2016.
“Hasil daripada prestasi mengagumkan ini, kami telah mengagihkan dividen dan bonus berjumlah RM14.6 bilion untuk 2017 dengan jumlah dividen kumulatif sebanyak RM172.1 bilion sejak PNB ditubuhkan pada 1978,” katanya.
http://www.utusan.com.my/berita/nasional/pnb-agih-rm1-88b-bayar-tiga-dana-1.637710
Comments
Post a Comment